Cerpen 33: Perjalanan Sebatang Pen Dakwat Basah
Cerpen 33: Perjalanan Sebatang Pen Dakwat Basah
.
Namaku sebatang pen dakwat basah. Aku tidak seperti pen biasa. Tubuhku diperbuat daripada logam kemas, dan dakwatku mengalir lembut di atas kertas. Aku dicipta untuk penulisan yang kemas, dan sering digunakan dalam seni khat dan surat rasmi.
Aku mula ‘hidup’ apabila dibeli oleh seorang gadis bernama Umaira di sebuah kedai alat tulis berdekatan sekolah berasrama penuh. Dia memilihku dengan teliti kerana katanya, “Pen dakwat basah buat tulisan jadi lebih indah dan tenang.” Sejak hari itu, aku menjadi teman setianya.
Setiap malam di asrama, Umaira akan menulis jurnal, puisi, dan surat kepada keluarganya dengan menggunakan aku. Ada kalanya, dakwatku menitis kerana terlalu laju,selari dengan emosinya. Aku tahu bila dia gembira, kecewa, atau rindu, semuanya diluahkan melalui gerakan tangannya.
Namun, pada suatu hari, Umaira kelihatan lemah. Dia tidak menulis selama beberapa hari. Aku tertinggal dalam kotak penselnya, sepi. Akhirnya, rakan sebiliknya berbisik, “Umaira dibawa pulang... doktor kata dia perlu berehat panjang.”
Bulan berlalu. Aku kekal di laci mejanya, tak digunakan. Suatu hari, guru kelas membuka meja Umaira. Dalamnya ada buku nota dan aku yang masih terisi dakwat. Guru itu membacakan salah satu puisinya kepada kelas:
"Setiap baris ku titipkan rindu,
Pada keluarga, pada sahabat, juga pada ilmu."
Ramai yang menitiskan air mata. Akhirnya, aku diletakkan di sudut perpustakaan sekolah dalam kotak kaca dengan nota:
"Pen ini pernah menulis harapan dan perasaan. Biarlah ia terus menjadi pena yang membisik inspirasi."
Walaupun aku cuma sebatang pen, aku pernah menjadi suara hati seorang insan yang luar biasa.
.
Oleh " Siti Isah Ithnin 🫰



Comments
Post a Comment